Tuesday, October 6, 2009

Perjuangan Mesti Diteruskan...

Salam Ukhuwah Fillah, lama rasanya sudah tidak posting apa-apa cerita dalam blog ini. kira-kira 10 hari lagi akan tamatnya praktikum sebagai seorang guru yang tak terlatih ni. Ketika ini perjalanan menjadi seorang guru sentiasa menanti dihadapan sana dengan cabaran dan onak duri yang sentiasa menanti.

Bibit perkenalan yang baru bermula akan terus hilang sehingga bila pula akan bertemu semula. Saya teringat kata-kata daripada seorang kawan yang sama mengambil DPLI di UPSI satu kelas, dia mengatakan : " Amin , jangan sedih ! adanya perpisahan itu disebabkan bermulanya pertemuan dan jangan biar adanya pertemuan sekiranya tidak mahu berlaku perpisahan, setiap pertemuan itu pasti ada perpisahan".

Walaupun observe dari pensyarah sudah habis tetapi perjalanan sebagai seorang yang bergelar guru belum selesai. Rasanya terlalu banyak yang perlu dipelajari untuk menjadi seorang guru ini. Sekadar pengalaman yang sedikit ini tidak sanggup mengharung cabaran bakal mendatang. Pengalaman itu mesti dicari dan terus dicari dalam hidup ini. Dimana jua kita berada pasti memberi inspirasi baru kepada hidup kita semua.

Apapun, mungkin di sesebuah sekolah itu perjalanannya tidak sama dengan sekolah yang lain. Ada sekolah yang gurunya bermasalah dengan bahagian pentadbiran, ada sekolah yang guru-gurunya ada masalah sesama guru. Apapun ini semua cabaran sebagai seorang guru yang bakal menanti dihadapan sana. Guru yang terbaik adalah pengalaman yang perlu dicari sebelum bergelar sebagai seorang guru yang sebenar.

Sekadar perkongsian bersama sahabat-sahabat, sebelum kita menjadi seorang guru beberapa perkara yang dirasakan perlu untuk diambil berat oleh bakal guru semua yang digelar sebagai Pendakwah juga. Guru sebagai pendakwah dengan tujuan untuk memimpin pelajar mereka ke jalan yang benar dan tidak bertentangan dengan sayriat yang ditetapkan.

Apapun, perlu diingat bahawa kewajipan kita lebih banyak daripada waktu yang ada pada kita. Imam Hasan Al-Bana telah menyebut bahawa kewajipan kita sebenarnya lebih banyak daripada waktu yang ada pada kita. Masa yang Allah berikan kepada kita sebenarnya tidak mencukupi untuk kita hitungkan seharian apa yang telah kita buat untuk kewajipan kita bersama Islam.

Sebenarnya banyak benda yang perlu kita tanya kepada diri kita dan beberapa persoalan perlu dirungkaikan oleh kita sebagai seorang yang bergelar Khalifah di atas muka bumi ini : apakah sumbangan kita sudah mencukupi untuk memberi sumbangan kepada Islam ? Adakah kita sudah rasa selesa dengan perkembangan yang ada kepada umat Islam Malaysia kita hari ini ? Berapa ramaikah diantara kita sanggup untuk mewakafkan diri kita untuk Islam ?

Walaubagaimanapun, peringatan buat semua, masa yang berlalu terhadap kita jangan disia-siakan begitu saja. Gunakan kesempatan dengan masa yang ada untuk berjuang bersama Islam. Jangan kita mengangap bahawa di depan sana sudah ada orang yang nak bawa Islam sedangkan kita tak perlu untuk melakukan apa-apa untuk memberi sumbangan kepada Islam. Jangan kita terlalu banyak memberi alasan untuk kita tidak bersama dengan Islam.

Percaya dan yakinlah kemanisan setiap gerak kerja yang kita sumbangkan nanti akan dibalas oleh Allah S.W.T. Sekiranya Allah tidak memberi kejayaan kita di dunia ini pasti Allah akan memberi kemenangan kepada kita di Akhirat kelak. Selamat Berjuang Wahai SahabatKu... Harapan kepada kita sentiasa menunggu di depan sana untuk memberi sinar baru kepada Islam.

Friday, September 25, 2009

Program Sekitar Hari Raya..

Sewaktu coretan ini ditulis, sudah masuk hari raya yang ke enam, banyak sudah rumah sanak saudara dan sahabat handai telah pun diziarahi dan dilawati.

Walaubagaimanapun, Raya pada tahun ini terasa kemeriahannya dan kemesraanya apabila dapat bertemu dengan sahabat-sahabat lama yang sudah sekian lama tidak berjumpa. Pastinya kenangan setiap kali Hari Raya akan terkenang kenangan lama bersama sahabat-sahabat.

Tahun ini juga bermula dari hari raya pertama hinggalah hari raya kelima masih juga tidak sempat untuk saya menghabiskan jemputan untuk menziarahi kawan-kawan dan sanak saudara.

Hari Raya pertama dan kedua dikhususkan untuk berjumpa dan bermesra dengan kaum keluarga yang terdekat yang balik pulang ke kampung setahun sekali. Sudah menjadi kebiasaan apabila bermula seusai selepas Solat Hari Raya Aidilfitri, kami akan keluar berhari raya bersama kawan-kawan kampung sekitar kampung aja. Bertanya khabar dan berita dari kawan-kawan kampung sudah semestinya menjadi tajuk bualan bersama. Ada yang menceritakan perjalanan kerjaya masing-masing dan berkongsi pengalaman masing-masing. Maka teringatlah kenangan bersama kawan-kawan di kampung yang tidak dapat dilupakan dari bermain caplom, menangkap ikan dibendang, mengejar mesin padi dan trakter dan mandi sungai dan sebangainya.

Pada hari raya ketiga sudah dikhususkan untuk bertemu dengan sahabat-sahabat sekolah lama, perjumpaan bersama sahabat-sahabat perjuangan dan sahabat-sahabat mahasiswa. Bermula progam sekitar bertemu dengan mahasiswa di kediaman Menteri Besar, disana saya dapat berjumpa secara terus dengan Menteri Besar Kedah : Dato' Seri Ustaz Azizan Bin Abdul Razak.

Berakhirnya majlis, kami saling menyapa dan bertegur sapa. Semuanya dapat berjumpa dan berkenal mesra. Hidup ini penuh dengan kenangannya.Ramai dikalangan pelajar mesir yang balik bercuti pada tahun ini jadi saya tidak lepaskan peluang beramah mesra dengan mereka dan untuk bertanya mereka mengenai keadaan disana.

Sesi bertemu Menteri Besar juga menyeronokkan apabila Menteri Besar turun bersalaman dengan semua pelajar yang ada dibawah dewan. Dengan melihat kelibat Menteri Besar seorang yang mesra dengan rakyat tidak menampakkan kekokuntuk bertemu mahasiswa kerana mahasiswalah akan membawa negara dan negeri kelandasan yang sebenarnya. Allahyarham Ustaz Fadhil Noor juga tidak jemu untuk bertemu dengan pelajar walaupun disibukkan dengan urusan yang lain kerana merekalah yang akan mengkadirkan pelajar-pelajar yang lain dan akan mencorakkan kehidupan di bumi Malaysia kita ini.

Paling menyernokkkan apabila dapat bertemu dengan sahabat-sahabat yang belajar di bumi Madinah Al-Munawwarah. Mereka memberitahu hanya sekadar setahun @ dua tahun lagi akan habis belajar dan memperoleh ijazah. Perjalanan sebagai seorang pelajar akan berakhir dengan mendapat segulung ijazah. Sebenarnya ilmu itu berterusan dan tidak hanya sekadar dapat segulung ijazah sahaja. Pembelajaran itu bersifat berterusan dan selamanya sehingga sampai matipun kita perlu diajar lagi.

Pada sesi petangnya, kami semua bertemu dengan pelajar-pelajar Maahad Mahmud, lama sungguh rasanya tidak bertemu. Semuanya sudah berkerjaya dan mengikut lapangan kerjaya masing-masing. Ada yang bekerja sebagai, pensyarah,guru dan pegawai agama. Ada yang menyambung pelajaran sehingga keperingkat Phd. Semua ini tidak mematahkan semangat saya untuk terus berjuang dan menyambung pelajaran keperingkat yang lebih tinggi.

Sesi pada petang itu dirasmikan oleh Ustaz Kamal yang merupakan mantan pelajar Maahad dan sekarang menabur bakti di Maktab Rendah Sains Mara Junjung Kulim. Beliau mengingatkan kepada kami berkaitan pendidikan yang berterusan sebagai medan terus berjuang di atas muka bumi ini, pendidikan itu bersifat berterusan dan tidak akan habis sehinggalah kita datang bertenu Allah SWT. Sesi diskusi tidak kurang hebatnya apabila Ustaz Haniff Baderun menyampaikan ucapan berkaitan dakwah pada hari ini. Perjumpaan dengan pelajar Maahad mengenangkan kami sewaktu berada di Maahad dulu walaupun sebenarnya telah lama kami tinggalkan Maahad yang kami cintai.

Walaubagaimanapun, pada hari raya ini juga sahabat rakan sekelas telah membina rumah tangga dan mula melayari bahtera perkahwinan. Tidak lupa untuk saya mengucapkan Selamat Pengatin Baru kepada Ustaz Firdaus Bin Abdul Razak yang melangsungkan perkahwinannya bersama pasangannya.

Perjalanan pada hari raya ini begitu banyak mengimbau kembali kenangan lama bersama sahabat-sahabat walaupun ada junior dari maahad yang sudah saya tidak kenali disebabkan jarak yang terlalu jauh dan terdapat pemisahan. Kenangan pada hari ini akan menjadi pengukur kepada persahabatan yang telah lama dibina dan tidak akan hilang buat selamanya. INsyaAllah...



Sunday, September 20, 2009

Selamat Hari Raya..

Salam Ukhuwah Fillah, lamanku ini sudah sesawang, berapa lama sudah ku tidak melihat dan mengupdatekan laman ini. Minta Maaf kepada semua yang menjunguknya...

Di pertemuan kali ini saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya kepada semua. Maaf Zahir Dan Batin. Sekiranya tersalah bahasa pohon diampunkan dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki dan sekiranya terambil diharapkan halalkan semuanya.

Tahun ini, Hari raya disambut lagi. Hari raya merupakan hari semua orang bergembira dan bersuka ria setelah sebulan kita berpuasa selama sebulan. Madrasah Ramadhan yang berlalu telah mengajar kita banyak perkara, kita kena tanya kepada diri kita adakah puasa kita pada tahun ini lebih baik daripada tahun-tahun yang lepas? Adakah puasa kita pada tahun ini sama dengan tahun lepas atau adakah puasa kita pada tahun ini kurang daripada tahun lepas?

Sekiranya kita dapat memperbaiki sehingga tahap yang lebih baik itu merupakan jalan yang terbaik.

Sebaik berakhirnya Ramadhan dan bermulanya syawal. Perangai lama yang diwarisi oleh syaitan pula bermaharaja lela dalam diri kita. Sepanjang bulan Ramadhan kita boleh melatih diri kita daripada segala perbuatan baik yang telah diajar oleh Rasulullah tetapi tidak sempat lagi kita dah membawa perangai lama yang diwarisi oleh syaitan kepada kita sifat seperti mengumpat yang sebelum ini kita tinggalkan sebaik masuk saja syawal perngai itu telah bermula kembali.

Apa yang sepatutnya kita menjadikan syawal ini sebagai pencetus perubahan kepada bulan-bulan lain. Perangai yang lama yang tidak baik diharapkan tinggalkan selepas kita ditarbiah dalam madrasah Ramadhan selama sebulan.

Inilah sifat manusia sebenarnya, perkara-perkara baik yang diajar dalam Islam sudah ditinggalkan. Sebaliknya terbawak perkara yang syaitan ajar. Dibulan yang mulia ini,harus diisi dengan perkara-perkara kebaikan dan banyaknya kita bersedekah dan ziarah menziarahi, saling bermaaf-maafan dan bantu membantu.

Selamat Hari Raya...Kullu Am Wa Antum Bikhair...

Tuesday, September 1, 2009

Fasa ke 2 Ramadhan

Salam Ukhuwah Fillah,

RAMADAN sudah melewati fasa 10 hari kedua, yang dijanjikan keampunan (maghfirah), selepas Allah melimpahkan rahmat, sebelum "pembebasan dari api neraka".

Bagi yang alpa-leka dan mensesiakan tempoh satu pertiga Ramadan yang berlalu itu, masanya belum terlambat untuk kembali merebut peluang keemasan, yang tentunya tidak dapat dipastikan akan berulang pada tahun depan.

Madrasah Ramadan, pusat latihan mendidik diri menundukkan nafsu, bulan penuh keberkatan menemui diri di malam-malamnya, sambil beristighfar, bermunajat dan bertaubat penuh keinsafan.

Dalam bulan ini juga, kita digalakkan untuk memperbanyakkan membaca Al-Quran dengan seberapa banyak yang boleh. Nabi sentiasa mengingatkan kepada sahabat-sahabat mengenai bulan Ramadhan ini jangan kita mensia-siakannya, bersembang dan berbual kosong sebaliknya kita digalakkan untuk membaca Al-Quran, berzikir kepada Allah dengan sebanyak mungkin dan menggunakan sepenuh masa itu dengan sebaik mungkin.

Rasulullah S.A.W bersabda mafhumnya :" Berapa ramai orang yang berpuasa tetapi tidak mendapat apa-apa melainkan melepaskan lapar dan dahaga sahaja ".( hadis riwayat Muslim )

Inilah persoalan yang sering timbul dan kita digalakkan untuk memuhasabahkan diri kita. Adakah kita dapat memanfaatkan peluang yang ada pada bulan ini dengan sebaik mungkin ?? Adakah pada tahun depan kita dapat bertemu dengan Ramadhan sekali lagi??

Sepastinya, dalam bulan yang diturunkan Al-Quran ini kita menggunakan kesempatan dalam bulan ini untuk memperbanyakkan membaca Al-Quran, bertadarus dan melakukan amalan soleh yang diperintahkan Allah S.W.T.

Walaubagaimanapun kita juga diperingatkan dengan memperbetulkan niat kita supaya kita tidak menjadikan bulan ini sebagai hamba. Sekadar pada bulan ini sahaja kita membaca Al-Quran dan seuasai habisnya Ramadhan kita sudah tidak lagi membaca Al-Quran. Sebaiknya kita harus memotivasikan diri kita bukan hanya di dalam bulan ini dan berterusan kita membaca AL-Quran dan melakukan amalan yang baik yang dijanjikan balasan yang besar oleh Allah S.W.T.

Apa pun, madrasah Ramadan yang kita tempuh selama sebulan ini merupakan, pusat latihan mendidik diri menundukkan nafsu, bulan penuh keberkatan menemui diri di malam-malamnya, sambil beristighfar, bermunajat dan bertaubat penuh keinsafan.

Ramadan juga mendidik jiwa menjernihkan hati, menyantuni golongan fakir, mengasihi orang tua, menyuburkan sifat pemurah, meluhurkan tekad, mengikis budaya tamak-haloba.


Ramadan turut mendorong dan menyemarakkan semangat jihad, mengangkat martabat umat, meninggikan darjat agama dan bersedia mengorbankan kepentingan diri.

Masya-Allah, sungguh luarbiasa bulan istimewa ini. Rebutlah peluang yang besar ini yang hanya Allah berikan dalam bulan Ramadhan sahaja. Pastikan anda dan saya dapat memanfaatkan setiap detik di dalamnya untuk beribadah setulus dan seikhlasnya.

Sunday, August 9, 2009

Sempena Hari Persaraan..

Hari jumaat yang lepas , sekolah mengadakan hari persaraan Datin Pengetua.Perjalanan majlis berjalan dengan lancar, bermula dengan dibacakan doa dan juga ucapan dari Penolong Kanan Pentadbiran, Pegawai Pelajaran Daerah Batang padang dan ucapan dari Datin Pengetua Sekolah.

Dalam banyak-banyak ucapan yang saya dengar itu,saya tertarik apabila mendengar ucapan Tuan Pegawai Pelajaran Daerah Batang Padang, dalam ayat yang diungkapkan beliau menjelaskan bahawa persaraan merupakan suatu kewajipan. Beliau juga mengumpamakan persaraan itu dalam agama Islam ini sebagai kematian.

Persaraan merupakan satu kewajipan begitu juga kematian itu merupakan satu kewajipan bagi kita umat Islam. Kita kena mempercayai bahawa kematian itu merupakan sebagai kewajipan. Apabila sampai masanya persaraan akan tiba dalam kehidupan seseorang yang berkhidmat samaada dalam perkhidmatan bersama kerajaan ataupun swasta.

Dalam Majlis Persaraan inilah juga merupakan kenang-kenangan, memperingati dan disingkap kembali tentang kebaikan, sumbangan dan semangat yang ditunjukkan. kebiasaannya dalam majlis persaraan akan juga akan disebut dengan perkara-perkara kebaikan, dia seorang yang berkerja dengan baik, dia seoarang yang memenuhi waktu dalam perkejaannya, selalu mengambil berat dengan kebajikan kakitangan dan disukai oleh semua orang samaada kawan atau lawan

Begitulah juga, dengan kematian ini, setiap kita akan diperhitungkan amalan kita. Apabila seseorang itu mati, kalau dia melakukan amalan yang baik dan banyak menabur bakti kepada masyarakat maka orang akan menyebut jasa bakti yang telah ditaburkan oleh beliau.

Begitu juga dengan persaraan, orang akan menyebut kebaikan yang telah dilakukan satu persatu kalau sekiranya beliau banyak menaburkan bakti kepada sekolah dan masyarakat. Di hari persaraan itulah akan disingkap kejayaan yang telah ditempa dan diterima oleh beliau.

Disamping itu, sekiranya seseorang itu tidak banyak melakukan kebaikan dan lebih banyak melakukan perkara yang orang lain tidak suka, maka dia akan disingkap dengan benda-benda yang tak baik. Sebagai contohnya di sekolah, guru-guru juga akan bertanya dengan sinis kepada guru lain, bilakah sidia tu akan pencen hah ? itu tandanya guru-guru tak sabar menunggu si dia akan keluar dari sekolah itu.

Begitu juga kalau seseorang itu banyak melakukan kesalahan dalam masyarakat, maka masyarakat tidak suka akan dia, dari situ terbitlah dalam pemikiran orang kampung itu, si dia tu dah mati ka ? Bila dia mati ? Awat dia tu tak mati awal lagi ? itulah tanggapan masyarakat kalau seseorang itu tidak dinilai dan dihargai oleh masyarakat.

Berbanding dengan orang yang baik, banyak melakukan amalan kepada Allah dan banyak sumbangannya kepada masyarakat. Orang seperti ini akan dikenang jasa dia dan akan di sebut sumbangan dan kerja-kerja baiknya semasa di dunia oleh masyarakat. Pemergiannya akan dikenang dan ditangisi oleh masyarakat sumbangannya akan disebut-sebut orang.

Itulah sebenarnya kehidupan dalam dunia ini, sepertimana persaraan itu merupakan kewajipan kepada semua , kematian juga merupakan kewajipan yang pasti akan ditempuhi oleh semua yang bergelar insan. Setiap dari kita tidak dapat lari daripada kematian, dan kematian akan datang menjemput kita.

Wednesday, August 5, 2009

Perkongsian Bersama Sahabat-Sahabat

Sebelum ini saya telah menjelaskan keadaan suasana di sekolah, hari ini saya ingin berkongsi dengan sahabat-sahabat berkaitan beberapa perkara dalam sekolah yang saya praktikum ini.

Pertamanya, ketika berjumpa dengan seorang guru, dia bagitau kepada saya " amin, awak nak tau dak, sekolah ini sebenarnya tidaklah berapa memuaskan dalam bidang akademiknya, itulah awak tengok pelajar-pelajar sini tidak pentingkan pelajaran, ikut suka mereka ja nak datang ke sekolah ka tak " jelas cikgu itu.

Selama perbincangan dengan guru-guru sekolah ini, semuanya memberitahu bahawa sekolah tidak mementingkan akademik sangat. Sepanjang saya memulakan praktikum sehingga hari ini sudah tiga majlis yang telah diadakan.Terdetik dalam hati, selepas ini program apa pula yang akan diadakan di sekolah ini.

Walaupun aktiviti banyak, tetapi yang tidak membuatkan saya rasa tidak boring adalah mendengar kelakar dari guru-guru sekolah ini. Guru-guru di sekolah ini sporting dan baik. Semuanya boleh di ajak makan bersama dan dibawa berbincang.

Oleh kerana sekolah ini kebanyakan dipenuhi oleh anak-anak orang asli, ia lebih menumpukan kepada aktiviti muzik, peralatan yang lengkap disediakan oleh pihak sekolah untuk pelajar belajar berkaitan muzik.

Sesampai saja aku ke sekolah ini, terasa pelik kerana aku mendapati pelajar bermain gitar dan mahir bermain alat-alat muzik. Aku hairan, almaklumlah semenjak aku belajar sehingga hari ini tidak pernah aku sampai ke sekolah yang menyediakan kepada pelajar untuk belajar muzik.

Kadangkala terfikir juga, kemanakah arah tuju yang aku nak bawa kepada pelajar sekolah ini.....bersambung.

Tuesday, August 4, 2009

Perbincangan Bersama Sahabat..

Pada hari minggu cuti yang lepas, saya berpeluang bersama sahabat-sahabat dari UIA dan juga sahabat yang telah habis belajar dari mesir. Dalam perjumpaan kami itu, saya menceritakan sedikit sebanyak berkaitan subjek praktikum saya ini.

Banyak benda yang telah saya ceritakan kepada mereka, dari penelitian dan pengamatan saya semasa saya mengajar di Sekolah ini, tambahan pula saya ditugaskan untuk mengajar subjek Pendidikan Moral yang tidak penah saya belajar dan mengetahui sedikit sebanyak selok belok subjek ini.

Walaubagaimanapun, saya merasakan bahawa subjek yang diminta oleh guru untuk saya mengajar ini mempunyai hikmah di sebaliknya. Subjek ini adalah berkaitan nilai-nilai dan pemupukan moral. Apabila saya menceritakan kepada pelajar ini berkaitan dengan nilai-nilai saya akan menyebutkan kepada pelajar saya yang non muslim ini bahawa setiap agama itu mengajak kearah nilai yang baik.

Persoalan juga sering ditimbulkan kepada pelajar-pelajar yang tidak mempunyai agama ini, saya bertanya kepada mereka : Kalau kamu tidak ada agama macamana kamu mengetahui tentang sesuatu nilai dan bagaimanakah kepercayaan kamu yang tidak mempunyai tuhan ? Setiap perkara yang kamu buat itu bagaimana dinilai buruk dan baik ? Dan kemanakah amalan kamu yang kamu buat itu akan diperhitungkan ? sedangkan kamu tidak mempunyai agama. Disamping itu saya menceritakan juga kepada pelajar-pelajar berkenaan dengan fahaman saya dan juga agama Islam. Islam mengajar kita perkara-perkara kebaikan dan mencegah kita melakukan keburukan. Setiap perkara keburukan yang dilarang diterangkan di dalam agama Islam.

Sebenarnya, persoalan-persoalan yang dilontarkan ini telah memberi sedikit kefahaman kepada mereka dan mereka juga semakin meragui tentang hakikat mereka dijadikan. Saya tinggalkan mereka supaya berfikir dan sejauh mana mereka boleh berfikir.

Monday, August 3, 2009

Minggu Ketiga Praktikum

Lama rasanya tidak posting dalam blog ini, minggu ini agak padat juga aktiviti yang dilakukan, cuti minggu, saya pergi menziarahi kawan-kawan yang di Shah Alam.

Minggu ini juga program yang padat di sekolah ini, Majlis Perpisahan Pengetua Sekolah akan diadakan pada hari jumaat ini, manakala bermula minggu depan sekolah akan mengadakan Ujian Topikal.

Tambahan pula apabila saya bertanya kepada sahabat-sahabat sudah ada pensyarah yang dah turun observe. Risau juga dibuatnya saya beranggapan bahawa penyelia akan turun dalam minggu depan. Sebenarnya minggu ini pelajar UPSI bercuti disebabkan H1N1. Masa yang ada inilah digunakan oleh penyelia untuk turun observe.

Sebenarnya praktikum ini juga memenatkan apabila berada di sekolah, saya cuba bertanya kepada kawan-kawan yang lain semua memberi respon yang serupa sahaja. Kata mereka banyak benda yang nak kena buat. Balik hari nak kena buat rancangan pengajaran harian dan nak kena siapkan ABM. Apatah lagi bagi sekolah yang tidak mempunyai peralatan yang mencukupi.

Bagi subjek agama ini pelajar sekolah ini dikehendaki mencari kelas agama, kalau tidak ada kelas agama dan ada orang lain yang guna maka terpaksalah mencari bilik tayangan ataupun bilik komputer.

Pernah sekali saya terpaksa mengajar pelajar dalam surau. Bayangkan mengajar dalam surau itu tidak mempunyai papan putih dan alatan yang lain agak membuatkan pelajaran hari itu tidak sempurna dan tidak mencapai objektif yang ditetapkan oleh saya.

Inilah beberapa pengalaman yang penting, rasanya bermula minggu depan sekolah banyak menumpukan kepada ulangkaji pelajar untuk mengahadapi ujian Topikal.

Friday, July 24, 2009

DIARI HARI KE 5 PRAKTIKUM...

Seusai hari ini...aku baru mula masuk kelas tingkatan 1 ceria..aku diminta mengajar subjek moral. Susah jugak pada awalnya kerana tak pernah belajar subjek ini..tapi dilihat isi kandungannya ok sahaja.

Tapi apa yang menyeronokkan melihat pelajar ini semuanya bersemangat untuk belajar. Sekali lagi aku teruja dengan mereka. Dan mereka semuanya sporting.

Kelas tingkatan 2 yang aku ajar Pendidikan Islam apabila digabungkan semua kelas dalam ting 2 baru 23 orang pelajar sahaja. Aku bertanya kepada guru yang mengajar mereka untuk subjek Pendidikan Islam itu, bagaimana keadaan mereka? Kebanyakan pelajar ting 2 ini dikira oklah kecuali ada beberapa orang yang tidak boleh membaca Al-Quran dan Jawi. Maka terpaksalah sebelum mereka membaca ayat Al-Quran ditulis dalam tulisan rumi dulu untuk diteranslate kepada mereka.

Aku yakin mereka akan memperoleh kejayaan, apabila dibimbing dan diberi tunjuka ajar yang baik. Setiap manusia tidak terlepas dari dibimbing bahkan mereka masih remaja yang sangat perlu bimbingan dan kasih sayang dari keluarga dan juga dari guru.

Aku sentiasa mendoakan kejayaan mereka di dunia dan di akhirat kerana aku tidak mahu mereka menerima kegagalan di usia yang muda ini. Setiap kemahuan yang disertai dengan usaha yang berterusan dalam diri pasti akan memperoleh kejayaan kepada diri.

Wednesday, July 22, 2009

PRAKTIKUM....


Hari ini dah masuk tiga hari kami berpraktikum, saya memilih di Sekolah Menengah Tapah. Hari pertama berjumpa dengan pengetua, semuanya diceritakan dari A-Z berkenaan Sekolah ini. Pengetua juga menyebut bahawa Sekolah ini 70% pelajarnya adalah Non Muslim ada dikalangan mereka yang beragama kristian dan ada juga yang berfahaman anamisme iaitu berfahaman agama nenek moyang mereka yang tidak mempunyai agama dan memuja kepada pokok-pokok besar. Hanya sekitar 30% sahaja yang Muslim. Sekolah ini juga merupakan sekolah bagi penempatan anak-anak Orang-Orang Asli sekitar kawasan Tapah inilah. Kebanyakan ibu-bapa anak Orang Asli ini bekerja sebagai Polis dan Pertahanan Awam yang tinggal sekitar kawasan ini. Walaupun mereka semua datang dari salasilah itu tetapi kehidupan mereka sudah banyak berubah mungkin ada sedikit sahaja yang unsur-unsur yang lama itu yang masih mempengaruhi kehidupan mereka. Selain itu saya juga melihat, mereka juga mampu bersaing dengan pelajar-pelajar melayu yang lain dengan mendapat pelajaran yang tinggi. Ibu-bapa mereka juga mengharapkan kejayaan anak-anak mereka untuk kehidupan mereka di hari tua. Pendidikanlah yang membantu keluarga mereka.Mereka juga mempunyai peluang yang sama untuk mendapat pendidikan dan berjaya dalam kehidupan.

Permulaan hari pertama aku bertanya kepada cikgu-cikgu disini bagaimana keadaan sekolah ini,mereka semuanya memberi respon yang positif dari segi prasarana, sekolah yang besar dan merupakan sekolah baru dibina sekitar dalam 8 tahun sahaja manakala dari segi pengawalan kelas juga tidak mempunyai masalah sangat disebabkan pelajar-pelajar disini setengah daripadanya boleh dikatakan sederhana dari segi pencapaian mereka. Apa yang disuruh oleh guru mereka akan patuh dan lakukan. Mereka tidak membantah arahan guru.

Semua itu diberitahu dari segi positifnya dan yang negatifnya pun ada juga. Semasa perhimpunan juga pengetua menyebut mengenai kehadiran ke kelas agak merosot kebelakangan ini, masalah ponteng ini sudah menjadi kebiasaannya bagi mana-mana sekolah juga bukannya disini sahaja. Kadang-kadang ada juga kebimbangan dilubuk hati ini berkenaan pelajar muslim dari kalangan orang asli jumlahnya pun tidak ramai tetapi agak membimbangkan saya adalah mereka tidak boleh membaca Al-Quran apatah lagi tidak mengenal tulisan jawi.

Pengalaman dari guru praktikum di sekolah ini tidak melepaskan peluang saya untuk bertanya bagaimana cara yang terbaik mengatasi masalah pelajar ini. Apabila saya berjumpa dengan guru pembimbing, Pn Rozaini Bt Md Zain dia kata nak kena habis silibus pelajaran mereka. Aduh pening juga memikirkannya, bagaimana hendak menghabiskan silibus sedangkan pelajar-pelajar tidak boleh membaca Al-Quran dengan lancar. Apa yang membimbangkan, apabila ditanya kepada guru yang mengajar subjek itu mereka memberitahu bahawa pelajar-pelajar hanya akan membaca ayat yang diberikan sekitar satu ayat lebih sahaja, kalau sekiranya lebih mereka sudah tidak boleh membacanya...

Pengalaman ini bagi aku sebenarnya menarik dan memberi seribu satu makna yang tidak dapat untuk digambarkan. Guru yang terbaik adalah pengalaman. Ku mengharapkan yang pada akhirnya semuanya ini mempunyai hikmah yang tersendiri. Jangan kita ingat selamanya kita berada dalam keadaan selesa untuk mengajar tempat yang baik-baik sahaja. Dakwah itu sebenarnya menyeluruh.kita mulakan dengan pengalaman yang susah insyaAllah kita akan mendapat kejayaan akhirnya..baik di dunia ataupun di akhirat.

Friday, July 3, 2009

DOA HARI PEPERIKSAAN


1- Ketika masuk ke dewan:

“Katakanlah, wahai tuhanku masukkan aku dari tempat yg benar, dan keluarkan aku dari tempat yg benar juga, dan berikan aku dari kurniaanmu kekuataan yg membantu.”

2- Ketika menerima kertas jawapan:

“Ya tuhanku lapangkan dadaku dan mudahkan urusanku, dan leraikanlah ikatan di lidahku supaya mereka memahami percakapanku”.

3- Jika sukar untuk menjawab:

“Ya tuhan yg maha hidup dan maha pembangkit, dengan rahmatmu aku meminta pertolongan”

“Ya Allah tiada kesenangan kecuali apa yg kau jadikan ia senang, dan engkaulah yg menjadikan kesusahan itu satu kesenangan”.

4- Jika terlupa jawapan:

“Ya Allah yg mengumpulkan manusia di hari tiada ragu-ragu, maka kumpulkanlah maklumat-maklumatku”.


About This Blog

Footer

  © Blogger template 'External' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP