Sunday, April 26, 2009

Saidina Umar R.a

Pemimpin ContohPemimpin merupakan pemegang amanah. Seorang pemimpin yang baik bukanlah memikirkan apa yang telah dibuat untuk rakyat atau orang yang dipimpinnya. Tetapi sebaliknya memikirkan apa yang masih belum dilakukan untuk yang orang yang dipimpinnya.
Terlalu ramai ahli politik, tetapi sangat sedikit sekali pemimpin. Pemimpin boleh menjadi ahli politik, tetapi tidak semua ahli politik boleh menjadi pemimpin. Pemimpin seringkali diseru agar mengikuti contoh kepimpinan Saidina Umar Al Khattab. Seorang sahabat Rasulullah yang banyak mempelajari daripada Rasulullah mengenai soal kepimpinan. Terdapat kisah ketika Saidina Umar berangkat untuk bertemu dengan rakyat Al Quds (Baitul Maqdis)Beliau berangkat ke sana dengan seorang pembantu dan seekor unta sebagai kenderaan tunggangan dari Kota Madinah. Oleh kerana ada hanya seekor unta menjadi tunggangan, maka khalifah dan pembantunya membuat persetujuan untuk menunggang unta secara bergilir-gilir, dimulai dengan khalifah selepas itu pembantunya sehinggalah tiba di kota Al Quds.Apabila hampir tiba di ibu kota Al Quds, tibalah giliran pembantunya menaiki unta dan khalifah berjalan kaki. Pengiringnya enggan menaiki unta kerana dilihatnya ramai penduduk sedang menyambut kedatangan khalifah Umar Al Khattab, pada pendapatnya tentulah tidak wajar dia yang menunggang unta sedangkan khalifah berjalan kaki. Lagi pun penduduk menunggu kedatangan khalifah, sudah tentu khalifah yang sepatutnya diberi penghormatan menunggang unta bukan pembantunya. Khalifah Umar Al Khattab marah dengan sikap pembantunya kerana cuba melanggari persetujuan bahawa mereka akan bergilr-gilir menunggang unta, kini adalah giliran pembantunya. Umar Al Khattab dengan tegas tetap menyuruh pembantunya menunggang unta.
Umar Al Khattab r.a berkata. “Inilah ajaran Islam, keadilan adalah hampir kepada taqwa, aku tidak sedikit pun keberatan berjalan kaki sedangkan engkau menunggang unta. Dan aku sama sekali tidak berasa terhina berbuat demikian. Terpulanglah kepada penduduk Baitul Maqdis untuk membuat tafsiran masing-masing. Aku sanggup beri penjelasan jika mereka kehendaki. Maka naiklah engkau unta tunggangan ini."Setelah memasuki kota Al Quds, berduyun-duyunlah penduduk menyambut kedatangan khalifah Umar Al Khattab r.a., alangkah terkejutnya mereka melihat melihat peribadi agung khalifah yang masuk berjalan kaki sedangkan pembantunya menaiki unta. Dengan perasaan hairan bercampur kagum mereka menyaksikan kejadian yang menyentuh hati tersebut. Inilah kisah pendek yang menjadi contoh keperibadian saidina Umar sebagai seorang pemimpin. Sewajarnya seorang pemimpin tidak perlu mempertontonkan jasa yang ditaburkan, sebaliknya bermuhasabah dan mencari kelemahan di dalam pentadbirannya. Seterusnya berusaha dengan penuh tanggungjawab untuk memperbaikinya. Pemimpin perlulah bijak dalam timbangan keadilan. Mengutamakan kebaikan untuk semua yang dipimpinnya tanpa mengira darjat, agama atau kaum.
”Sesiapa yang diserahkan oleh Allah akan sesuatu urusan dari beberapa urusan pemerintahan kau muslimin, lalu ia tidak mempedulikan tentang keperluan mereka, kesusahan dan penderitaan mereka nescaya Allah tidak akan mempedulikan tentang keperluan, kesusahan dan penderitaannya di hari kiamat nanti.” (Al Hadis)

About This Blog

Footer

  © Blogger template 'External' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP