Friday, April 16, 2010

AMALAN PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN KE ARAH PENINGKATAN PRESTASI (Suatu pengalaman untuk dikongsi)

Pendahuluan

Peranan guru bukan sekadar memindah ilmu kepada murid-muridnya tetapi dalam konteks yang lebih luas iaitu sebagai muallim, murabbi, muaddib, mursyid, pendidik, pembimbing, pengajar, pengurus, pengarah, penyelia, pengelola, penyelidik, pengkaji, pakar rujuk, agen perubahan, agen sosialisasi, dan pembina masa depan negara dan sebagainya, bertujuan membina murid menjadi modal insan yang berguna kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara serta agama.

Perancangan Awal

Perancangan strategik lima tahun dan tahun semasa perlu diadakan supaya apa yang dicadangkan untuk dilaksanakan sebagai panduan pelaksanaan sepanjang tahun dan strategi masa hadapan.

Perancangan strategik perlu dimasukkan ’target’ atau pelunjuran yang hendak dicapai, biasanya ’target’ itu adalah lebih baik daripada tahun sebelumnya. Perkara yang lebih penting untuk diutamakan dalam perancangan itu ialah aktiviti-aktiviti yang hendak dilaksanakan bagi mencapai target. Aktiviti-aktiviti tersebut merangkumi program-program pengajaran dan pembelajaran berkesan, kelas tambahan, kelas pemulihan, kelas pengukuhan dan pengayaan, projek-projek akademik dan kegiatan ko-korikulum.

Perancangan awal yang perlu dilakukan iaitu penyediaan bahan-bahan pengajaran dan pembelajaran selain daripada buku teks seperti nota-nota tambahan, bahan-bahan ’power points’, CD, VD, dan bahan bantuan mengajar bagi mempermudahkan murid memahami sesuatu tajuk. Guru sepatutnya membuat pengukuran masa bagi sesuatu topik yang hendak diajar, ada topik yang diselesaikan dalam satu masa dan ada yang perlu lebih dari satu masa.

Perancangan kemudahan pembelajaran murid, seperti keadaan kelas yang lebih kondusif, kemudahan peralatan kegunaan pelajar. Jika tiada masalah kertas-kertas, pelbagai jenis pen yang dakwatnya berbagai warna , yang boleh memberi keseronokan kepada murid untuk belajar disediakan oleh guru, kemungkinan peruntukan kewangan sekolah boleh digunakan untuk tujuan ini atas budibicara pentadbir sekolah. Keadaannya menjadi lebih baik jika guru berusaha adakan sebuah Bilik Khas Pendidikan Islam (jika ada bilik yang kosong),

Perancangan pengajaran dan pembelajaran sepanjang tahun seharusnya mengikut agihan yang telah ditentukan dan guru boleh mengambil daya anisiatif supaya sukatan pelajaran dapat diselesaikan lebih awal. Guru boleh menggunakan masa-masa baki untuk tujuan pengayaan, pengukuhan, pemurnian, pemulihan, peningkatan kemahiran menjawab dan sebagainya sebelum tiba masa peperiksaan yang sebenar.

Siapa Guru Di Hati Murid

Usaha menarik minat murid mendampingi guru adalah satu langkah yang cukup berkesan untuk menarik mereka menyukai mata pelajaran yang diajar. Guru yang memiliki penampilan diri yang baik akan memberi bonus kepadanya kerana secara tidak langsung ia menjadi idola kepada murid terutama murid di kelas yang beliau ajar.

Pandangan pertama iaitu pakaian yang sentiasa kemas pada setiap hari persekolahan, kesungguhan dalam pekerjaan, dedikasi dalam menyampaikan ilmu, bersikap adil kepada semua murid, sentiasa bertimbangrasa dan penyayang, mesra dan sentiasa nampak periang, sentiasa tenang dan berhati-hati dalam tindakan supaya tidak tersalah langkah, beretika dan boleh diteladani, berwatak tegas tetapi amat berhemah dalam tindakan, sentiasa memelihara disiplin diri, bersifat cekal dan sabar, berprinsip tetapi bersifat terbuka untuk menerima berbagai pandangan, berilmu dan mahir dalam bidang kerjayanya, sentiasa mengharga masa, ’komited’ dengan tugas, memiliki idea-idea yang bernas, kreatif dan inovatif, berwibawa, sedia berkorban masa dan wang ringgit serta berketrampilan adalah antara ciri-ciri personaliti yang boleh menawan hati murid-murid.Kekemasan tempat atau bilik guru sebagai tempat untuk guru melaksanakan kerja-kerja rutin juga menjadi perhatian murid. Mereka begitu gemar datang berurusan dan berjumpa untuk menyelesaikan berbagai masalah atau meminta guru menilai tahap pencapaiannya jika tempat itu kelihatan kemas dan tersusun yang mencerminkan perwatakan guru yang sebenar.

Buku rekod sebagai buku penting yang perlu disediakan dengan kemas dan rapi serta lengkap menjadikan guru berkenaan mendapat keyakinan yang dihati pentadbir dan murid-muridnya. Begitu juga dengan kekemasan kerja-kerja yang lain yang boleh dinilai baik oleh murid, rakan sejawatan dan pentadbir sebagai guru yang memiliki komitmen yang tinggi. Guru boleh membuat berbagai program di luar bilik darjah yang bertujuan merapatkan diri dengan mereka. Antaranya, membuat jamuan makan sekali atau dua kali setahun, membawa mereka ke tempat rekriasi melalui program Pendidikan Islam, lawatan ke tempat-tempat tertentu, berkunjung ke rumah salah seorang murid, terutama yang sakit, program menelaah bersama di waktu petang dan sebagainya.Aktiviti membaca yasin, solat hajat sebulan sekali dan lebih kerap di masa hampir dengan tarikh peperiksaan menyebabkan mereka terasa seolah-olah guru itu mengambil berat dan prihatin ke atas mereka.

Kebijaksanaan berkomunikasi dengan murid-murid, memahami perasaan mereka melalui pendekatan kesedaran emosi seperti mengambil berat tentang permasalahan mereka, bersimpati dan empati, cuba penyelesaian kekusutan yang berlaku ke atas mereka, dan sebagainya akan mendekatkan lagi mereka dengan guru. Melalui cara ini murid mudah mematuhi segala yang dihajati guru.

Gerakerja guru yang menampakkan kecemerlangan dalam melaksanakan tugas juga dapat mempengaruhi minat murid terhadap guru. Guru sewajarnya memiliki keperibadian yang tinggi, berpengetahuan luas tentang tajuk yang hendak diajar, serta berkemahiran dalam pengajaran dan pembelajaran, kemerlangan dalam mengurus bilik darjah, dan menampakkan personaliti sebagai guru yang berwibawa. Oleh itu kemahiran dalam pengajaran dan pembelajaran yang memberangsangkan, bijak mengurus masa secara optimum, berupaya meningkatkan prestasi murid, dan bijak mengawal disiplin akan meningkatkan keyakinan murid terhadap kemampuan guru.

Guru Dan Bilik Darjah

Pada peringkat awal, murid-murid akan membuat berbagai tanggapan atau persepsi terhadap guru yang akan masuk ke kelas mereka. Mungkin murid-murid sudah tahu tentang latarbelakang guru itu secara tidak langsung sebelum ini, kerana mereka sudah dua atau tiga tahun belajar di sekolah ini cuma belum pernah belajar dengannya. Sebaliknya terdapat juga murid langsung tidak tahu tentang guru itu, kerana dia mungkin murid yang baru di sekolah itu atau murid ini hanya tahu guru yang mengajarnya sahaja.

Berkenalan dengan murid yang akan diajari adalah suatu yang tidak boleh diabaikan kerana pernilaian murid ke atas diri guru pada hari pertama akan diterjemahkan terus ke dalam minda mereka tentang perwatakan guru itu. Murid bertanggapan guru itu garang jika guru itu bermula dengan watak tegas. Murid juga mungkin bertanggapan guru ini boleh dipermainkan kerana perwatakan yang tersangat lembut atau tidak serius.

Semasa inilah guru perlu memainkan peranan yang cukup bijak bagi menawan hati mereka seperti memuji mereka dengan kata-kata yang menggambar guru itu amat sayang kepada mereka. Ketika itu juga guru berusaha dengan kata-kata bersemangat dan menampakkan kesungguhan untuk menjadikan mereka murid yang berjaya, murid yang baik, murid yang memiliki keyakinan diri yang tinggi. Beberapa peraturan yang mesti dipatuhi yang menampakkan ketegasan tetapi berhemah serta memiliki sifat keterbukaan dalam menerima pandangan serta bersedia melakukan perubahan.

Guru memperincikan bahan-bahan yang perlu disediakan oleh mereka dan bahan yang akan disediakan oleh guru sendiri supaya murid mengetahui bahawa gurunya bersedia untuk mengajar mereka. Jika sekiranya menjadi guru kelas berkenaan maka kesediaan guru untuk menjadikan kelas ini lebih ceria dan menarik menjadikan murid-murid berkeyakinan terhadap gurunya itu.

Mengenali nama setiap murid di kelas tersebut adalah satu pendekatan yang baik. Murid akan menampakkan lebih mesra jika disebut nama mereka semasa berkomunikasi. Berbagai cara yang boleh dilakukan oleh guru untuk mengingati

’nama-nama mereka seperti bertanya nama setiap kali hendak bercakap dengan mereka, atau memasukkan foto-foto mereka dalam komputer peribadi untuk diingat setiap hari. Dalam masa yang singkat guru dapat mengingati semua nama mereka.

Guru juga boleh menyatakan beberapa ganjaran yang akan diberikan kepada murid jika mereka bersedia untuk memberi kerjasama semasa pengajaran dan pembelajaran berlaku atau pencapaian kemajuan murid bertambah baik dari masa semasa, seperti berjanji untuk bawa mereka ke tempat perkelahan atau lawatan ke mana-mana atau berjanji untuk menghadiahkan sesuatu. Guru sewajar menunaikan janji-janji itu supaya murid tidak kecewa dengan sikap guru yang dianggap berpura-pura itu. Saya pernah berjanji untuk membuat jamuan makan kepada mereka, membawa mereka ke tempat rekriasi, memberi hadiah tertentu, dan saya tunai setelah mereka tunjukkan peningkatan.

Pengajaran Dan Pembelajaran

Objektif pengajaran dan pembelajaran akan tercapai apabila murid mengetahui dan memahami tajuk yang diajar, kemudian mampu menganalisa dan membanding beza serta membuat penilaian serta mampu untuk mengaplikasi dalam situasi yang tertentu. Guru perlu memahami modul pengajaran dan pembelajaran yang bermula dengan set induksi, perkembangan isi mengikut aras serta menggunakan kaedah dan teknik yang sesuai, penerapan prinsip-prinsip Islam Hadhari, rumusan, tugasan dan ulasan kendiri. Biasanya apabila loceng berbunyi, guru akan masuk ke bilik darjah berkenaan atau murid –murid datang ke Bilik Pendidikan Islam. Ketika ini guru menunjukkan sikap kesungguhan untuk masuk ke kelas itu, dengan gaya berjalan yang laju serta membawa beberapa bahan yang diperlukan atau menjemput mereka supaya bergerak pantas ke Bilik Pendidikan Islam.

Apabila melangkah masuk teruskan memberi salam, mereka bangun dan membaca doa dengan ikhlas dan khusyuk supaya mendapat keberkatan Allah SWT. Selepas itu, guru meminta mereka bersihkan kelas, kemaskan diri, meja, kerusi, dan apa sahaja yang kelihatan tidak menceriakan sebagai suatu cara untuk mendidik dan memperadabkan mereka sebelum mereka menerima pelajaran.

Guru bertanyakan mereka, seperti ’apa khabar semua’, ’ada yang sakit atau yang tidak sihat’,’siapa yang ada apa-apa masalah,’ ’ustaz nampak semuanya seronok, ini yang menjadikan ustaz pun seronok hendak mengajar’. Pertanyaan-pertanyaan dan kata-kata begini adalah sentuhan awal supaya mereka seronok dengan kedatangan guru itu. Guru memuji dengan perkataan, ’bagus’ supaya murid merasakan mereka dihargai, dan cuba berjenaka dengan mereka seperti memberi satu teka-teki dan sebagainya.

Guru memulakan pelajaran dengan menunjukkan sesuatu, atau menceritakan satu cerita pendek atau apa sahaja sebagai set induksi. Apabila sesuatu tajuk disentuh, guru cuba bertanya tentang beberapa pengalaman mereka yang ada kaitan dengan tajuk berkenaan. Murid-murid membuka buku teks bagi tajuk berkenaan, nota tambahan yang disedikan guru sebagai ’hand out’, dan kertas A4 untuk dibuat peta minda. Guru juga mempamerkan bahan maklumat melalui ’slide’ yang ditayang dengan bantuan ’LCD’ atau menggunakan teknik-teknik yang lain.

Guru berbincang dengan murid secara bersahaja, tentang tajuk yang dipelajari, murid berbincang sesama mereka, membuat peta minda, bersoal jawab, guru memberi persoalan untuk diselesaikan oleh murid sendiri, murid membuat aktiviti kumpulan, guru membuat penilaian mengikut aras, dan berbagai aktiviti lain yang boleh merangsangkan minat murid. Di samping itu guru sentiasa berjenaka dan memberi perangsang serta memuji sebagai penghargaan bagi semua kerja yang sedang mereka lakukan. Guru sepatutnya tidak menyampaikan ilmu secara sehala, dari awal hingga akhir kerana teknik ini ternyata membosankan murid.Peranan otak kiri dan otak kanan perlu diseimbangkan. Otak kiri memberi penekanan kepada bahasa, rumusan matematik, lojik, urutan, nombor, analisi dan lirik lagu. Otak kanan memberi penekanan kepada bentuk dan corak, maipulasi ruang, imiginasi, angan-angan, dan rentak lagu. Maka peranan guru mempastikan kedua-dua otak itu berfungsi dengan baik.

Apabila mereka seronok dengan pembelajaran seperti ini menjadikan mereka terasa masa berada di kelas terlalu sebentar dan kadang-kadang mereka akan terus berada di kelas ini walaupun loceng telah berbunyi kerana kemungkinan selepas ini tiada guru yang datang ke kelas mereka.Pendekatan cara bermain atau berintraksi bersama mereka semasa pengajaran dan pembelajaran dijalankan menjadikan mereka semakin berani mengeluarkan berbagai idea secara spontan dan berani bertanya tentang perkara-perkara yang mereka tidak faham sebab mereka tidak merasa tertekan dan hati dan perasaan mereka sentiasa tenang. Mereka sendiri memahami apa yang terkandung dalam buku, guru hanya bertindak sebagai fasilitator yang hanya menekan aspek-aspek tertentu dalam kandungan itu.

Murid-murid ternyata lebih gemar membuat peta minda setelah mereka dilatih untuk membuatnya berkali-kali dan seolah-olah menjadi ’kegilaan’ kepada mereka. Kelebihan membuat peta minda ialah mereka dapat menguasai semua isi yang terkandung dalam buku atau nota, dan mereka hanya menggunakan bahasa dan ayat-ayat sendiri ketika menjawab soalan, tidak bergantung ayat-ayat yang terdapat dalam buku. Oleh itu minda mereka akan lebih terbuka, di samping melatih mereka berfikiran kreatif dan kritis. Kadang-kadang guru berhadapan dengan murid yang lambat faham akan sesuatu tajuk atau isi kandungan. Pendekatan yang digunakan antaranya menjadikan rakannya sebagai ’guru’ untuk menjelaskan perkara tersebut, menggalakkan pelajar berkenaan segera bertanya rakannya yang berdekatan atau mereka akan bangun bertanya rakan yang lebih meyakinkannya. Murid berkenaan tidak segan silu untuk terus bertanya dengan guru. Guru mengulangi semula dengan pendekatan yang lebih mudah atau membina soalan untuk dibincang dalam kumpulan setelah mengenalpasti ada murid yang masih belum faham kandungan tersebut.

Pendekatan-pendekatan yang lebih mudah, meringankan bebanan murid dan meningkatkan minat untuk terus menyelesaikan tugasan bagi tajuk berkenaan. Contohnya, murid yang sukar menghafaz ayat-ayat al-Quran bagi tingkatan empat, guru memberi kebebasan kepada murid bertemu dengan guru untuk menghafaz ayat-ayat itu di hadapan guru, guru boleh melantik murid-murid yang cemerlang menjadi naqib untuk mendengar hafazan murid berkenaan, kadang-kadang terdapat murid yang ingin menghafaz sedikit demi sedikit dan akhirnya semua ayat tersebut telah berjaya di hafaz atau pun menggunakan pelbagai pendekatan yang disukai oleh murid berkenaan dan guru sepatutnya melayan kehendak mereka.

Bagi murid-murid yang tidak menguasai bacaan al-Quran, guru boleh menggunakan pendekatan yang lebih berhemah. Contohnya, menjemput mereka berkumpul di suatu bilik yang tidak disertai oleh murid-murid lain. Guru memberi semangat, perangsang, serta mencerita kelebihan-kelebihan apabila boleh membaca al-Quran. Guru meminta pandangan mereka tentang cara yang kehendaki supaya mereka boleh mereka lakukan dan matlamatnya mereka boleh membaca al-Quran. Guru juga memberi cadangan, misalnya, guru memberi jaminan kepada mereka bahawa mereka boleh membaca al-Quran jika mereka mengikuti teknik dan kaedah yang akan di bawa oleh gurunya itu tetapi mereka hendaklah melakukan latihan berterusan di rumah atau di luar bilik darjah. Gabungan kaedah Iqrak, Qiraati dan Hattawiyah boleh digunakan tetapi guru hendaklah sentiasa memantau perkembangan mereka dengan memberi galakan, pujian, ganjaran, penghargaan berterusan. Murid-murid ini kadang terasa malu disebabkan kelemahan mereka. Oleh itu guru tidak perlu menggunakan kaedah yang menyebabkan mereka menjadi malu, seperti menyuruhnya membaca dengan kuat di hadapan kelas, sebaiknya mereka di bawa ke tempat lain atau membaca dalam kumpulan yang sama atau membaca secara beramai-ramai.

Jika mampu selalu berjumpa mereka untuk berbincang dan sekali sekala jemput mereka makan di kantin dan sebagainya supaya mereka dapat merasai bahawa guru itu benar-benar untuk membantu mereka menguasai bacaaan al-Quran. Setelah mereka berjaya membaca maka berilah penghargaan berupa sijil di perhimpunan sekolah. Apabila mereka merasakan seronok belajar Pendidikan Islam maka mereka akan berusaha untuk memahami tajuk yang sedang dipelajari. Di samping galakan dan motivasi guru yang berterusan. Dengan wajah keriangan yang ditunjukkan oleh guru, serta menampakkan kesayangan guru itu terhadap murid, menjadikan

mereka terasa bersalah jika mereka tidak mendengar nasihat-nasihat yang dilontarkan oleh guru.

Guru juga hendaklah menunjukkan ketegasan semasa pengajaran dan pembelajaran berlangsung, tetapi ketegasan itu dilakukan dengan senda gurau, sambil mengenakan sedikit denda terhadap mereka, dan mereka bersedia untuk menerima dengan lapang dada seperti menarik sedikit telinga sebagai menandakan guru tidak gemar dengan perlakuan tersebut. Murid yang sememangnya sayang kepada gurunya itu, dengan cepat memohon maaf, dan guru terus maafkan dan letakkan tangan dibelakang mereka atau memuji mereka supaya mereka tidak merasakan sesuatu yang boleh menjejaskan penumpuan terhadap pelajaran yang sedang dihadapi itu. Denda atau hukuman yang boleh menjatuhkan maruah dan memalukannya sepatutnya dielakkan supaya murid berkenaan tidak tertekan, akibatnya murid berkenaan mungkin membuat tindakan negatif seperti tidak datang ke sekolah, merosakkan harta benda sekolah dan sebagainya.

Penggunaan alatan bantuan mengajar, model-model tertentu, atau kepelbagaian kaedah yang lebih kepada berpusatkan murid. Pendekatan, modul atau kaedah seperti Pembelajaran Masteri, Pembelajaran Kerjasama, Kontruktivisma, Pembelajaran Kontektual, adalah di antara kaedah yang boleh digunakan mengikut kesesuaian tajuk, kemampuan murid, dan kebijaksanaan guru mengaplikasikannya supaya dapat menghasilkan pembelajaran yang memberangsang minda mereka. Kesannya, murid mudah faham dan minat mereka untuk meneruskan pembelajaran dan mereka tidak menunjukkan perlakuan yang bermaksud bosan dengan cara guru menyampaikan pengajaran.

Contohnya, tajuk cara menyempurnakan ibadah haji dan umrah. Model-model berbentuk replika seperti model kaabah, jamrah, tempat saei, tempat wukuf, Mina dan Muzdalifah serta Miqat Makani. Guru menggunakan beberapa murid untuk menunjuk cara, simulasi, main peranan dan sebagainya. Penggunaan pendekatan ini, murid akan lebih mudah faham dalam masa yang singkat.

Bagi meningkatkan pencapaian murid dalam bacaan dan tulisan jawi, maka tindakan yang boleh difikirkan ialah langkah pertama, mengadakan penilaian mudah untuk mengetahui tahap sebenar pencapaian murid berkenaan, bagi murid yang terlalu lemah, diperkenalkan huruf hijaiyah yang dipadankan dengan huruf rumi, kemudian ditingkatkan ke tahap mengenal suku kata hingga seterusnya murid boleh membaca kalimah mudah dan kalimah yang lebih dari dua sukukata hinggalah ke tahap boleh membaca ayat-ayat dan esei. Pendekatan mendekati murid adalah seperti yang telah dijelaskan perlu untuk menarik minat mereka menyintai jawi.

Memasang lagu-lagu nasyid atau zikir yang boleh menjadi halwa telinga mereka tetapi diperlahankan suaranya, supaya murid rasa terhibur dan kadang-kadang kandungan lagu itu memberi kesedaran dan keinsafan kepada mereka, juga dapat membantu meningkatkan keseronokan dan minat murid untuk meneruskan pembelajaran.

Kebiasaannya guru berhadapan dengan masalah apabila berada di kelas yang terlalu lemah dan kemungkinan terdapat empat atau lima murid yang tidak boleh membaca dengan baik dan yang lain pula bersikap malas, suka ponteng, tidak suka membuat tugasan yang diberikan oleh guru, suka tidur dan sebagainya menyebabkan guru terasa bosan untuk berhadapan dengan mereka. Sebagai guru yang telah diberikan amanah untuk mengajar di kelas yang berkenaan seharus mencari pendekatan yang boleh meningkatkan motivasi dan kecenderungan mereka untuk mengikuti pelajaran yang sedang diajar.

Guru sepatutnya mengelakkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang boleh menambahkan kebencian mereka terhadap mata pelajaran yang diajar atau terhadap guru sendiri. Leteran yang berterusan, menyebut perkara-perkara negatif yang ada pada mereka seperti mengecap mereka sebagai pemalas, pengotor, kaki tidur dan sebagainya akan menghilangkan minat mereka untuk berada bersama guru itu. Pendekatan yang berkesan, murid-murid diberikan perhatian, dan pujian jika mereka melakukan sedikit perubahan ke arah kebaikan. Mulakan pelajaran dengan perkara yang cukup mudah, banyak memberi contoh-contoh, dekat dengan mereka ketika mengajar. Jika mereka tidak faham, cuba ulang bahagian itu melalui kaedah yang berbeza seperti memberi lambaran kerja, bimbing mereka untuk mendapatkan jawapan, gembirakan hati mereka, berjenaka, dan memberi tindak balas positif terhadap perlakuan dan pertuturan mereka.

Apabila mereka sudah menampakkan kecenderungan untuk belajar, teruskan memberi galakan, motivasi dan pengharapan yang baik, seperti kata-kata,’saya yakin murid kelas ini boleh lulus pelajaran ini dalam peperiksaan nanti, kerana ustaz sudah nampak ada peningkatan, ustaz seronok jika murid kelas ini berjaya’. InsyaAllah perubahan akan berlaku, sekurang-kurang guru dapat menjalankan tugas dengan sempurna dan berkesan di kelas berkenaan, tetapi amalan ini hendaklah dilakukan berterusan bukan secara sekali sekala. Yang lebih penting guru menunjukkan komitmen yang tinggi terhadap mereka.

Latihan, Penilaian Dan Pentaksiran

Aspek yang diberikan penekanan ketika membuat latihan dan menjawab peperiksaan ialah keikhlasan dalam melaksanakan tanggungjawab, bukan kerana terpaksa atau dipaksa atau melaksanakan sekadar melepas batuk di tangga, tidak menipu dengan cara meniru rakan secara menyalin semula jawapannya, belajar menerima hakikat iaitu menyatakan kemampuan sebenar supaya guru boleh membuat penambahbaikan, tidak malu untuk menyatakan kelemahan, sedia mendapatkan pertolongan rakan bagi meningkatkan kemahiran dan kefahaman. Akhirnya murid-murid dapat mendengar nasihat guru dan melaksanakan tugasan dengan baik.

Sebaik-baiknya, setiap tajuk yang dipelajari diberikan latihan untuk dilaksanakan di minit-minit terakhir dan menyambung tugasan itu di luar kelas atau di rumah sebagai kerja rumah. Guru menggalakkan murid menjawab latihan mengikut teknik jawapan yang betul dan jawapan yang dikemukakan itu adalah betul. Caranya, murid diminta berbincang dengan rakan-rakan sekiranya tidak yakin dengan jawapan yang diberikan itu. Nasihatkan mereka secara ikhlas supaya mereka tidak menyalin terus daripada jawapan rakannya itu. Berikan penekanan bahawa murid yang ikhlas dan yakin dengan pekerjaan akan mudah mencapai kejayaan dan keberkatan.

Menjawab soalan-soalan yang diberi oleh guru melalui perbincangan kumpulan juga satu teknik yang boleh membantu murid yang lemah. Setelah mendapat jawapan, masing-masing murid menulis jawapan tersebut. Kemudian ketua kumpulan akan menyemak semula jawapan setiap ahli kumpulan. Guru menunjukkan teknik dan kaedah menjawab soalan yang berkesan diperingkat awal lagi. Guru melatih sehingga mereka faham, kemudian latihan demi latihan mengikut teknik peperiksaan sebenar. Semua guru sepatutnya memahami teknik menjawab soalan peperiksaan awam (PMR dan SPM) supaya murid-murid dilatih sejak di tingkatan satu bagi PMR dan di tingkatan empat bagi SPM.

Setiap latihan murid direkod dalam buku rekod dengan memberi markah mudah iaitu A,A-,A+,B,B-,B+,C,C-,C+,D,dan E, rekod-rekod dipamerkan kepada mereka melalui ’LCD’, supaya mereka dapat membezakan percapaian mereka dan membandingkan dengan pencapaian rakan-rakan mereka. Guru akan memberi nasihat dan bimbingan kepada pencapaian yang lemah, pencapaian yang masih tidak berubah atau yang menurun.

Bagi kelas yang lemah, guru perlu memperbanyakkan soalan-soalan pencapaian rendah dan cuba memberi satu jawapan contoh supaya mereka berminat untuk terus menjawab soalan-soalan itu sehingga selesai. Galakan dan pujian harus diberikan terutama murid yang lemah jika ada sedikit pencapaian, guru perlu membuat pembetulan perkara-perkara yang salah dan berikan sedikit markah bagi jawapan tersebut, supaya murid berkenaan merasakan ada peningkatan dalam diri mereka.

Pemulihan, Pengukuhan dan Pengayaan

Bagi memastikan pencapaian murid terus meningkatkan prestasi maka perlu diadakan program pemulihan, pengukuhan dan pengayaan. Program ini boleh dilaksanakan di masa pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah, guru perlu mengenal pasti murid yang masih tidak menguasai topik berkenaan kemudian diberi pemulihan segera, jika tiada kesempatan, program itu perlu dilanjutkan di luar bilik darjah iaitu semasa lapang atau di luar waktu persekolahan.

Program pengukuhan dan pengayaan boleh dilaksanakan dari masa ke semasa melalui kelas-kelas tambahan atau tugasan tambahan yang diberikan kepada murid untuk diselesaikan secara individu atau kelompok. Penekanan secara lebih intensif dilaksanakan sebulan sebelum peperiksaan percubaan. Selepas peperiksaan percubaan guru membuat analisa keputusan untuk melihat kelemahan dan kekuatan murid kemudian tindakan susulan dijalankan bagi membantu meningkatkan kemahiran.

Penutup

Kejayaan seseorang guru dalam usaha untuk meningkatkan prestasi murid tidaklah semata-mata bergantung kepada kemahiran menggunakan teknik dan kaedah pengajaran yang pelbagai sahaja. Keberkesanan pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah juga berkait rapat dengan kefahaman guru tentang peranan mereka yang sebenar, personaliti, keperibadian, kewibaan dan

kesungguhan yang ditonjolkan, kebijaksanaan menawan hati budi murid, sifat pengorbanan dan keikhlasan, di samping perancangan yang teliti dan menyeluruh.

Pemantauan dan penyeliaan yang berterusan serta melakukan refleksi bagi tujuan pemulihan, pengukuhan dan pengayaan merupakan usaha-usaha dilakukan semasa dan selepas aktiviti pengajaran dan pembelajaran dalam konsep hari ini lebih baik dari semalam dan esok lebih baik dari hari ini.

Kajian tindakan atau soal selidik boleh dilakukan oleh guru sebagai asas untuk tindakan yang lebih berkesan ke arah peningkatan prestasi murid. Perkongsian bijak dengan rakan-rakan panitia juga salah satu langkah ke arah memeperkasakan pengajaran dan dan pembelajaran.

Bagi melaksanakan tugas yang mencabar ini, guru tidak perlu mengeluh dan merasa kecewa jika usaha-usaha yang dijalankan menemui kegagalan. Usaha dan ikhtiar yang berterusan mengikut pendekatan-pendekatan yang difikirkan wajar hasil daripada kreativiti dan innovasi serta komitmen guru yang tinggi. Kepuasan bagi seorang itu ialah apabila ramai murid yang diajar mencapai kejayaan. InsyaAllah dengan doa dan harapan, usaha yang disertaikan dengan niat yang ikhlas kerana Allah akan mendapat keberkatanNya jua.

Guru di awal gurulah di akhir

Tuesday, October 6, 2009

Perjuangan Mesti Diteruskan...

Salam Ukhuwah Fillah, lama rasanya sudah tidak posting apa-apa cerita dalam blog ini. kira-kira 10 hari lagi akan tamatnya praktikum sebagai seorang guru yang tak terlatih ni. Ketika ini perjalanan menjadi seorang guru sentiasa menanti dihadapan sana dengan cabaran dan onak duri yang sentiasa menanti.

Bibit perkenalan yang baru bermula akan terus hilang sehingga bila pula akan bertemu semula. Saya teringat kata-kata daripada seorang kawan yang sama mengambil DPLI di UPSI satu kelas, dia mengatakan : " Amin , jangan sedih ! adanya perpisahan itu disebabkan bermulanya pertemuan dan jangan biar adanya pertemuan sekiranya tidak mahu berlaku perpisahan, setiap pertemuan itu pasti ada perpisahan".

Walaupun observe dari pensyarah sudah habis tetapi perjalanan sebagai seorang yang bergelar guru belum selesai. Rasanya terlalu banyak yang perlu dipelajari untuk menjadi seorang guru ini. Sekadar pengalaman yang sedikit ini tidak sanggup mengharung cabaran bakal mendatang. Pengalaman itu mesti dicari dan terus dicari dalam hidup ini. Dimana jua kita berada pasti memberi inspirasi baru kepada hidup kita semua.

Apapun, mungkin di sesebuah sekolah itu perjalanannya tidak sama dengan sekolah yang lain. Ada sekolah yang gurunya bermasalah dengan bahagian pentadbiran, ada sekolah yang guru-gurunya ada masalah sesama guru. Apapun ini semua cabaran sebagai seorang guru yang bakal menanti dihadapan sana. Guru yang terbaik adalah pengalaman yang perlu dicari sebelum bergelar sebagai seorang guru yang sebenar.

Sekadar perkongsian bersama sahabat-sahabat, sebelum kita menjadi seorang guru beberapa perkara yang dirasakan perlu untuk diambil berat oleh bakal guru semua yang digelar sebagai Pendakwah juga. Guru sebagai pendakwah dengan tujuan untuk memimpin pelajar mereka ke jalan yang benar dan tidak bertentangan dengan sayriat yang ditetapkan.

Apapun, perlu diingat bahawa kewajipan kita lebih banyak daripada waktu yang ada pada kita. Imam Hasan Al-Bana telah menyebut bahawa kewajipan kita sebenarnya lebih banyak daripada waktu yang ada pada kita. Masa yang Allah berikan kepada kita sebenarnya tidak mencukupi untuk kita hitungkan seharian apa yang telah kita buat untuk kewajipan kita bersama Islam.

Sebenarnya banyak benda yang perlu kita tanya kepada diri kita dan beberapa persoalan perlu dirungkaikan oleh kita sebagai seorang yang bergelar Khalifah di atas muka bumi ini : apakah sumbangan kita sudah mencukupi untuk memberi sumbangan kepada Islam ? Adakah kita sudah rasa selesa dengan perkembangan yang ada kepada umat Islam Malaysia kita hari ini ? Berapa ramaikah diantara kita sanggup untuk mewakafkan diri kita untuk Islam ?

Walaubagaimanapun, peringatan buat semua, masa yang berlalu terhadap kita jangan disia-siakan begitu saja. Gunakan kesempatan dengan masa yang ada untuk berjuang bersama Islam. Jangan kita mengangap bahawa di depan sana sudah ada orang yang nak bawa Islam sedangkan kita tak perlu untuk melakukan apa-apa untuk memberi sumbangan kepada Islam. Jangan kita terlalu banyak memberi alasan untuk kita tidak bersama dengan Islam.

Percaya dan yakinlah kemanisan setiap gerak kerja yang kita sumbangkan nanti akan dibalas oleh Allah S.W.T. Sekiranya Allah tidak memberi kejayaan kita di dunia ini pasti Allah akan memberi kemenangan kepada kita di Akhirat kelak. Selamat Berjuang Wahai SahabatKu... Harapan kepada kita sentiasa menunggu di depan sana untuk memberi sinar baru kepada Islam.

Friday, September 25, 2009

Program Sekitar Hari Raya..

Sewaktu coretan ini ditulis, sudah masuk hari raya yang ke enam, banyak sudah rumah sanak saudara dan sahabat handai telah pun diziarahi dan dilawati.

Walaubagaimanapun, Raya pada tahun ini terasa kemeriahannya dan kemesraanya apabila dapat bertemu dengan sahabat-sahabat lama yang sudah sekian lama tidak berjumpa. Pastinya kenangan setiap kali Hari Raya akan terkenang kenangan lama bersama sahabat-sahabat.

Tahun ini juga bermula dari hari raya pertama hinggalah hari raya kelima masih juga tidak sempat untuk saya menghabiskan jemputan untuk menziarahi kawan-kawan dan sanak saudara.

Hari Raya pertama dan kedua dikhususkan untuk berjumpa dan bermesra dengan kaum keluarga yang terdekat yang balik pulang ke kampung setahun sekali. Sudah menjadi kebiasaan apabila bermula seusai selepas Solat Hari Raya Aidilfitri, kami akan keluar berhari raya bersama kawan-kawan kampung sekitar kampung aja. Bertanya khabar dan berita dari kawan-kawan kampung sudah semestinya menjadi tajuk bualan bersama. Ada yang menceritakan perjalanan kerjaya masing-masing dan berkongsi pengalaman masing-masing. Maka teringatlah kenangan bersama kawan-kawan di kampung yang tidak dapat dilupakan dari bermain caplom, menangkap ikan dibendang, mengejar mesin padi dan trakter dan mandi sungai dan sebangainya.

Pada hari raya ketiga sudah dikhususkan untuk bertemu dengan sahabat-sahabat sekolah lama, perjumpaan bersama sahabat-sahabat perjuangan dan sahabat-sahabat mahasiswa. Bermula progam sekitar bertemu dengan mahasiswa di kediaman Menteri Besar, disana saya dapat berjumpa secara terus dengan Menteri Besar Kedah : Dato' Seri Ustaz Azizan Bin Abdul Razak.

Berakhirnya majlis, kami saling menyapa dan bertegur sapa. Semuanya dapat berjumpa dan berkenal mesra. Hidup ini penuh dengan kenangannya.Ramai dikalangan pelajar mesir yang balik bercuti pada tahun ini jadi saya tidak lepaskan peluang beramah mesra dengan mereka dan untuk bertanya mereka mengenai keadaan disana.

Sesi bertemu Menteri Besar juga menyeronokkan apabila Menteri Besar turun bersalaman dengan semua pelajar yang ada dibawah dewan. Dengan melihat kelibat Menteri Besar seorang yang mesra dengan rakyat tidak menampakkan kekokuntuk bertemu mahasiswa kerana mahasiswalah akan membawa negara dan negeri kelandasan yang sebenarnya. Allahyarham Ustaz Fadhil Noor juga tidak jemu untuk bertemu dengan pelajar walaupun disibukkan dengan urusan yang lain kerana merekalah yang akan mengkadirkan pelajar-pelajar yang lain dan akan mencorakkan kehidupan di bumi Malaysia kita ini.

Paling menyernokkkan apabila dapat bertemu dengan sahabat-sahabat yang belajar di bumi Madinah Al-Munawwarah. Mereka memberitahu hanya sekadar setahun @ dua tahun lagi akan habis belajar dan memperoleh ijazah. Perjalanan sebagai seorang pelajar akan berakhir dengan mendapat segulung ijazah. Sebenarnya ilmu itu berterusan dan tidak hanya sekadar dapat segulung ijazah sahaja. Pembelajaran itu bersifat berterusan dan selamanya sehingga sampai matipun kita perlu diajar lagi.

Pada sesi petangnya, kami semua bertemu dengan pelajar-pelajar Maahad Mahmud, lama sungguh rasanya tidak bertemu. Semuanya sudah berkerjaya dan mengikut lapangan kerjaya masing-masing. Ada yang bekerja sebagai, pensyarah,guru dan pegawai agama. Ada yang menyambung pelajaran sehingga keperingkat Phd. Semua ini tidak mematahkan semangat saya untuk terus berjuang dan menyambung pelajaran keperingkat yang lebih tinggi.

Sesi pada petang itu dirasmikan oleh Ustaz Kamal yang merupakan mantan pelajar Maahad dan sekarang menabur bakti di Maktab Rendah Sains Mara Junjung Kulim. Beliau mengingatkan kepada kami berkaitan pendidikan yang berterusan sebagai medan terus berjuang di atas muka bumi ini, pendidikan itu bersifat berterusan dan tidak akan habis sehinggalah kita datang bertenu Allah SWT. Sesi diskusi tidak kurang hebatnya apabila Ustaz Haniff Baderun menyampaikan ucapan berkaitan dakwah pada hari ini. Perjumpaan dengan pelajar Maahad mengenangkan kami sewaktu berada di Maahad dulu walaupun sebenarnya telah lama kami tinggalkan Maahad yang kami cintai.

Walaubagaimanapun, pada hari raya ini juga sahabat rakan sekelas telah membina rumah tangga dan mula melayari bahtera perkahwinan. Tidak lupa untuk saya mengucapkan Selamat Pengatin Baru kepada Ustaz Firdaus Bin Abdul Razak yang melangsungkan perkahwinannya bersama pasangannya.

Perjalanan pada hari raya ini begitu banyak mengimbau kembali kenangan lama bersama sahabat-sahabat walaupun ada junior dari maahad yang sudah saya tidak kenali disebabkan jarak yang terlalu jauh dan terdapat pemisahan. Kenangan pada hari ini akan menjadi pengukur kepada persahabatan yang telah lama dibina dan tidak akan hilang buat selamanya. INsyaAllah...



Sunday, September 20, 2009

Selamat Hari Raya..

Salam Ukhuwah Fillah, lamanku ini sudah sesawang, berapa lama sudah ku tidak melihat dan mengupdatekan laman ini. Minta Maaf kepada semua yang menjunguknya...

Di pertemuan kali ini saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya kepada semua. Maaf Zahir Dan Batin. Sekiranya tersalah bahasa pohon diampunkan dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki dan sekiranya terambil diharapkan halalkan semuanya.

Tahun ini, Hari raya disambut lagi. Hari raya merupakan hari semua orang bergembira dan bersuka ria setelah sebulan kita berpuasa selama sebulan. Madrasah Ramadhan yang berlalu telah mengajar kita banyak perkara, kita kena tanya kepada diri kita adakah puasa kita pada tahun ini lebih baik daripada tahun-tahun yang lepas? Adakah puasa kita pada tahun ini sama dengan tahun lepas atau adakah puasa kita pada tahun ini kurang daripada tahun lepas?

Sekiranya kita dapat memperbaiki sehingga tahap yang lebih baik itu merupakan jalan yang terbaik.

Sebaik berakhirnya Ramadhan dan bermulanya syawal. Perangai lama yang diwarisi oleh syaitan pula bermaharaja lela dalam diri kita. Sepanjang bulan Ramadhan kita boleh melatih diri kita daripada segala perbuatan baik yang telah diajar oleh Rasulullah tetapi tidak sempat lagi kita dah membawa perangai lama yang diwarisi oleh syaitan kepada kita sifat seperti mengumpat yang sebelum ini kita tinggalkan sebaik masuk saja syawal perngai itu telah bermula kembali.

Apa yang sepatutnya kita menjadikan syawal ini sebagai pencetus perubahan kepada bulan-bulan lain. Perangai yang lama yang tidak baik diharapkan tinggalkan selepas kita ditarbiah dalam madrasah Ramadhan selama sebulan.

Inilah sifat manusia sebenarnya, perkara-perkara baik yang diajar dalam Islam sudah ditinggalkan. Sebaliknya terbawak perkara yang syaitan ajar. Dibulan yang mulia ini,harus diisi dengan perkara-perkara kebaikan dan banyaknya kita bersedekah dan ziarah menziarahi, saling bermaaf-maafan dan bantu membantu.

Selamat Hari Raya...Kullu Am Wa Antum Bikhair...

Tuesday, September 1, 2009

Fasa ke 2 Ramadhan

Salam Ukhuwah Fillah,

RAMADAN sudah melewati fasa 10 hari kedua, yang dijanjikan keampunan (maghfirah), selepas Allah melimpahkan rahmat, sebelum "pembebasan dari api neraka".

Bagi yang alpa-leka dan mensesiakan tempoh satu pertiga Ramadan yang berlalu itu, masanya belum terlambat untuk kembali merebut peluang keemasan, yang tentunya tidak dapat dipastikan akan berulang pada tahun depan.

Madrasah Ramadan, pusat latihan mendidik diri menundukkan nafsu, bulan penuh keberkatan menemui diri di malam-malamnya, sambil beristighfar, bermunajat dan bertaubat penuh keinsafan.

Dalam bulan ini juga, kita digalakkan untuk memperbanyakkan membaca Al-Quran dengan seberapa banyak yang boleh. Nabi sentiasa mengingatkan kepada sahabat-sahabat mengenai bulan Ramadhan ini jangan kita mensia-siakannya, bersembang dan berbual kosong sebaliknya kita digalakkan untuk membaca Al-Quran, berzikir kepada Allah dengan sebanyak mungkin dan menggunakan sepenuh masa itu dengan sebaik mungkin.

Rasulullah S.A.W bersabda mafhumnya :" Berapa ramai orang yang berpuasa tetapi tidak mendapat apa-apa melainkan melepaskan lapar dan dahaga sahaja ".( hadis riwayat Muslim )

Inilah persoalan yang sering timbul dan kita digalakkan untuk memuhasabahkan diri kita. Adakah kita dapat memanfaatkan peluang yang ada pada bulan ini dengan sebaik mungkin ?? Adakah pada tahun depan kita dapat bertemu dengan Ramadhan sekali lagi??

Sepastinya, dalam bulan yang diturunkan Al-Quran ini kita menggunakan kesempatan dalam bulan ini untuk memperbanyakkan membaca Al-Quran, bertadarus dan melakukan amalan soleh yang diperintahkan Allah S.W.T.

Walaubagaimanapun kita juga diperingatkan dengan memperbetulkan niat kita supaya kita tidak menjadikan bulan ini sebagai hamba. Sekadar pada bulan ini sahaja kita membaca Al-Quran dan seuasai habisnya Ramadhan kita sudah tidak lagi membaca Al-Quran. Sebaiknya kita harus memotivasikan diri kita bukan hanya di dalam bulan ini dan berterusan kita membaca AL-Quran dan melakukan amalan yang baik yang dijanjikan balasan yang besar oleh Allah S.W.T.

Apa pun, madrasah Ramadan yang kita tempuh selama sebulan ini merupakan, pusat latihan mendidik diri menundukkan nafsu, bulan penuh keberkatan menemui diri di malam-malamnya, sambil beristighfar, bermunajat dan bertaubat penuh keinsafan.

Ramadan juga mendidik jiwa menjernihkan hati, menyantuni golongan fakir, mengasihi orang tua, menyuburkan sifat pemurah, meluhurkan tekad, mengikis budaya tamak-haloba.


Ramadan turut mendorong dan menyemarakkan semangat jihad, mengangkat martabat umat, meninggikan darjat agama dan bersedia mengorbankan kepentingan diri.

Masya-Allah, sungguh luarbiasa bulan istimewa ini. Rebutlah peluang yang besar ini yang hanya Allah berikan dalam bulan Ramadhan sahaja. Pastikan anda dan saya dapat memanfaatkan setiap detik di dalamnya untuk beribadah setulus dan seikhlasnya.

Sunday, August 9, 2009

Sempena Hari Persaraan..

Hari jumaat yang lepas , sekolah mengadakan hari persaraan Datin Pengetua.Perjalanan majlis berjalan dengan lancar, bermula dengan dibacakan doa dan juga ucapan dari Penolong Kanan Pentadbiran, Pegawai Pelajaran Daerah Batang padang dan ucapan dari Datin Pengetua Sekolah.

Dalam banyak-banyak ucapan yang saya dengar itu,saya tertarik apabila mendengar ucapan Tuan Pegawai Pelajaran Daerah Batang Padang, dalam ayat yang diungkapkan beliau menjelaskan bahawa persaraan merupakan suatu kewajipan. Beliau juga mengumpamakan persaraan itu dalam agama Islam ini sebagai kematian.

Persaraan merupakan satu kewajipan begitu juga kematian itu merupakan satu kewajipan bagi kita umat Islam. Kita kena mempercayai bahawa kematian itu merupakan sebagai kewajipan. Apabila sampai masanya persaraan akan tiba dalam kehidupan seseorang yang berkhidmat samaada dalam perkhidmatan bersama kerajaan ataupun swasta.

Dalam Majlis Persaraan inilah juga merupakan kenang-kenangan, memperingati dan disingkap kembali tentang kebaikan, sumbangan dan semangat yang ditunjukkan. kebiasaannya dalam majlis persaraan akan juga akan disebut dengan perkara-perkara kebaikan, dia seorang yang berkerja dengan baik, dia seoarang yang memenuhi waktu dalam perkejaannya, selalu mengambil berat dengan kebajikan kakitangan dan disukai oleh semua orang samaada kawan atau lawan

Begitulah juga, dengan kematian ini, setiap kita akan diperhitungkan amalan kita. Apabila seseorang itu mati, kalau dia melakukan amalan yang baik dan banyak menabur bakti kepada masyarakat maka orang akan menyebut jasa bakti yang telah ditaburkan oleh beliau.

Begitu juga dengan persaraan, orang akan menyebut kebaikan yang telah dilakukan satu persatu kalau sekiranya beliau banyak menaburkan bakti kepada sekolah dan masyarakat. Di hari persaraan itulah akan disingkap kejayaan yang telah ditempa dan diterima oleh beliau.

Disamping itu, sekiranya seseorang itu tidak banyak melakukan kebaikan dan lebih banyak melakukan perkara yang orang lain tidak suka, maka dia akan disingkap dengan benda-benda yang tak baik. Sebagai contohnya di sekolah, guru-guru juga akan bertanya dengan sinis kepada guru lain, bilakah sidia tu akan pencen hah ? itu tandanya guru-guru tak sabar menunggu si dia akan keluar dari sekolah itu.

Begitu juga kalau seseorang itu banyak melakukan kesalahan dalam masyarakat, maka masyarakat tidak suka akan dia, dari situ terbitlah dalam pemikiran orang kampung itu, si dia tu dah mati ka ? Bila dia mati ? Awat dia tu tak mati awal lagi ? itulah tanggapan masyarakat kalau seseorang itu tidak dinilai dan dihargai oleh masyarakat.

Berbanding dengan orang yang baik, banyak melakukan amalan kepada Allah dan banyak sumbangannya kepada masyarakat. Orang seperti ini akan dikenang jasa dia dan akan di sebut sumbangan dan kerja-kerja baiknya semasa di dunia oleh masyarakat. Pemergiannya akan dikenang dan ditangisi oleh masyarakat sumbangannya akan disebut-sebut orang.

Itulah sebenarnya kehidupan dalam dunia ini, sepertimana persaraan itu merupakan kewajipan kepada semua , kematian juga merupakan kewajipan yang pasti akan ditempuhi oleh semua yang bergelar insan. Setiap dari kita tidak dapat lari daripada kematian, dan kematian akan datang menjemput kita.

Wednesday, August 5, 2009

Perkongsian Bersama Sahabat-Sahabat

Sebelum ini saya telah menjelaskan keadaan suasana di sekolah, hari ini saya ingin berkongsi dengan sahabat-sahabat berkaitan beberapa perkara dalam sekolah yang saya praktikum ini.

Pertamanya, ketika berjumpa dengan seorang guru, dia bagitau kepada saya " amin, awak nak tau dak, sekolah ini sebenarnya tidaklah berapa memuaskan dalam bidang akademiknya, itulah awak tengok pelajar-pelajar sini tidak pentingkan pelajaran, ikut suka mereka ja nak datang ke sekolah ka tak " jelas cikgu itu.

Selama perbincangan dengan guru-guru sekolah ini, semuanya memberitahu bahawa sekolah tidak mementingkan akademik sangat. Sepanjang saya memulakan praktikum sehingga hari ini sudah tiga majlis yang telah diadakan.Terdetik dalam hati, selepas ini program apa pula yang akan diadakan di sekolah ini.

Walaupun aktiviti banyak, tetapi yang tidak membuatkan saya rasa tidak boring adalah mendengar kelakar dari guru-guru sekolah ini. Guru-guru di sekolah ini sporting dan baik. Semuanya boleh di ajak makan bersama dan dibawa berbincang.

Oleh kerana sekolah ini kebanyakan dipenuhi oleh anak-anak orang asli, ia lebih menumpukan kepada aktiviti muzik, peralatan yang lengkap disediakan oleh pihak sekolah untuk pelajar belajar berkaitan muzik.

Sesampai saja aku ke sekolah ini, terasa pelik kerana aku mendapati pelajar bermain gitar dan mahir bermain alat-alat muzik. Aku hairan, almaklumlah semenjak aku belajar sehingga hari ini tidak pernah aku sampai ke sekolah yang menyediakan kepada pelajar untuk belajar muzik.

Kadangkala terfikir juga, kemanakah arah tuju yang aku nak bawa kepada pelajar sekolah ini.....bersambung.

About This Blog

Footer

  © Blogger template 'External' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP