Monday, May 11, 2009

Nizar Masih MB Perak Yang Sah

May 11, 09 3:45pm

kemaskini 4.45pm Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengumumkan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar sah Perak setelah digugurkan jawatan tersebut, awal Februari lalu.
Dalam penghakimannya, hakim Abdul Aziz Abd Rahim berkata seseorang menteri besar hanya boleh dipecat melalui undi tidak percaya di DUN, seperti kes Stephen Kalong Ningkan.Hakim menambah, dalam kes pelucutan Mohamad Nizar, tiada persidangan dewan diadakan untuk meluluskan usul sedemikian.
Permohonan peguam Zambry, Cecil Abraham untuk menangguhkan penghakiman tersebut ditolak oleh mahkamah.
Mengulas kemenangannya, menteri besar Pakatan Rakyat itu berkata beliau akan menghadap Sultan Perak berhubung penghakiman mahkamah tersebut.Pada 13 Februari lalu, Mohamad Nizar memfailkan saman mencabar pelantikan Zambry di kompleks mahkamah Jalan Duta, kira-kira seminggu selepas rampasan kuasa BN dan sekali gus pelantikan wakil rakyat BN itu.Mohamad Nizar, ADUN Pasir Panjang, juga memohon mahkamah mengeluarkan perintah perisytiharan bahawa Zambry yang dilanti 6 Februari lalu tidak berhak memegang jawatan menteri besar.
Dalam permohonan itu, wakil rakyat PAS itu mendakwa beliau masih menteri besar yang sah atas tiga alasan berikut:

(i) Tidak terdapat pembubaran DUN Perak

(ii) Tidak terdapat usul tidak percaya diambil dan diterima pakai oleh DUN terhadapnya
sebagai Menteri Besar Perak

(iii) Tidak terdapat peletakan jawatan menteri besar Perak.

"Melalui kenyataan media pejabat Sultan pada 5 Februari 2009, Sultan bertitah tidak akan membubarkan DUN dan sekiranya saya serta ahli majlis mesyuarat negeri tidak meletakkan jawatan, jawatan kami akan dianggap kosong.
"Saya menegaskan bahawa walaupun terdapat usaha mengusir saya daripada jawatan menteri besar Perak, saya masih menteri besar dan masih menjalankan fungsi dan tugas dengan baik, cermat dan adil," katanya dalam afidavit, menyokong permohonan itu.
Mohamad Nizar juga memohon mahkamah mengeluarkan perintah supaya responden memberikan tunjuk sebab bagaimana dan di bawah dasar apa Zambry, sebagai responden, berhak memegang jawatannya sekarang.
Beliau mendakwa responden secara tidak sah mengambil dengan tiada hak dan merampas jawatan menteri besar, serta menjalankan tanggungjawab, fungsi dan tugas sebagai menteri besar secara tidak sah dan bercanggah dengan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak.
Nizar juga memohon perintah injunksi bagi menghalang responden daripada melaksanakan tanggungjawab dan tugas-tugas menteri besar di negeri itu.

Sunday, April 26, 2009

Saidina Umar R.a

Pemimpin ContohPemimpin merupakan pemegang amanah. Seorang pemimpin yang baik bukanlah memikirkan apa yang telah dibuat untuk rakyat atau orang yang dipimpinnya. Tetapi sebaliknya memikirkan apa yang masih belum dilakukan untuk yang orang yang dipimpinnya.
Terlalu ramai ahli politik, tetapi sangat sedikit sekali pemimpin. Pemimpin boleh menjadi ahli politik, tetapi tidak semua ahli politik boleh menjadi pemimpin. Pemimpin seringkali diseru agar mengikuti contoh kepimpinan Saidina Umar Al Khattab. Seorang sahabat Rasulullah yang banyak mempelajari daripada Rasulullah mengenai soal kepimpinan. Terdapat kisah ketika Saidina Umar berangkat untuk bertemu dengan rakyat Al Quds (Baitul Maqdis)Beliau berangkat ke sana dengan seorang pembantu dan seekor unta sebagai kenderaan tunggangan dari Kota Madinah. Oleh kerana ada hanya seekor unta menjadi tunggangan, maka khalifah dan pembantunya membuat persetujuan untuk menunggang unta secara bergilir-gilir, dimulai dengan khalifah selepas itu pembantunya sehinggalah tiba di kota Al Quds.Apabila hampir tiba di ibu kota Al Quds, tibalah giliran pembantunya menaiki unta dan khalifah berjalan kaki. Pengiringnya enggan menaiki unta kerana dilihatnya ramai penduduk sedang menyambut kedatangan khalifah Umar Al Khattab, pada pendapatnya tentulah tidak wajar dia yang menunggang unta sedangkan khalifah berjalan kaki. Lagi pun penduduk menunggu kedatangan khalifah, sudah tentu khalifah yang sepatutnya diberi penghormatan menunggang unta bukan pembantunya. Khalifah Umar Al Khattab marah dengan sikap pembantunya kerana cuba melanggari persetujuan bahawa mereka akan bergilr-gilir menunggang unta, kini adalah giliran pembantunya. Umar Al Khattab dengan tegas tetap menyuruh pembantunya menunggang unta.
Umar Al Khattab r.a berkata. “Inilah ajaran Islam, keadilan adalah hampir kepada taqwa, aku tidak sedikit pun keberatan berjalan kaki sedangkan engkau menunggang unta. Dan aku sama sekali tidak berasa terhina berbuat demikian. Terpulanglah kepada penduduk Baitul Maqdis untuk membuat tafsiran masing-masing. Aku sanggup beri penjelasan jika mereka kehendaki. Maka naiklah engkau unta tunggangan ini."Setelah memasuki kota Al Quds, berduyun-duyunlah penduduk menyambut kedatangan khalifah Umar Al Khattab r.a., alangkah terkejutnya mereka melihat melihat peribadi agung khalifah yang masuk berjalan kaki sedangkan pembantunya menaiki unta. Dengan perasaan hairan bercampur kagum mereka menyaksikan kejadian yang menyentuh hati tersebut. Inilah kisah pendek yang menjadi contoh keperibadian saidina Umar sebagai seorang pemimpin. Sewajarnya seorang pemimpin tidak perlu mempertontonkan jasa yang ditaburkan, sebaliknya bermuhasabah dan mencari kelemahan di dalam pentadbirannya. Seterusnya berusaha dengan penuh tanggungjawab untuk memperbaikinya. Pemimpin perlulah bijak dalam timbangan keadilan. Mengutamakan kebaikan untuk semua yang dipimpinnya tanpa mengira darjat, agama atau kaum.
”Sesiapa yang diserahkan oleh Allah akan sesuatu urusan dari beberapa urusan pemerintahan kau muslimin, lalu ia tidak mempedulikan tentang keperluan mereka, kesusahan dan penderitaan mereka nescaya Allah tidak akan mempedulikan tentang keperluan, kesusahan dan penderitaannya di hari kiamat nanti.” (Al Hadis)

About This Blog

Footer

  © Blogger template 'External' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP